Tajuk
/ tema karangan: PEMANASAN GLOBAL
Fokus
karangan: KESAN/AKIBAT
Format
karangan: Tiada (Pendapat/Perbincangan)
KESAN PEMANASAN GLOBAL
Pemanasan
global telah menyebabkan bumi mengalami “demam panas” yang
turut menjadi penyebab utama iklim dunia menjadi semakin
kucar-kacir. Bagi kebanyakan orang, perubahan iklim dan pemanasan global
lebih banyak mengganggu sistem ekonomi berbanding dengan kesihatan diri.
Walau bagaimanapun, kesan pemanasan global jauh lebih mendalam dan akan
meninggalkan kesan kepada semua penduduk dunia. Mungkin juga ada antara
kita yang melihat mereka yang terbunuh akibat bencana alam seperti taufan,
banjir dan cuaca panas sebagai nasib malang semata-mata.
Namun,
bagi yang terselamat, mereka sebenarnya terdedah kepada ancaman kesihatan
selepas terselamat daripada lemas, mati kesejukan atau dehidrasi. Percaya
atau tidak, peningkatan suhu bumi telah membunuh lebih satu juta orang di
seluruh dunia sejak tahun 2000 sama ada secara langsung ataupun tidak.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengeluarkan perangkaan tersebut
menjelaskan separuh daripada jumlah kematian itu berlaku di Asia Pasifik, benua
yang paling padat penduduk. Selain itu, jumlah berkenaan belum ditambah dengan
ribuan mangsa yang terbunuh akibat pencemaran udara setiap tahun ibarat sudah
jatuh ditimpa tangga.
Pemanasan global yang berpunca
daripada pencemaran udara akan menyumbang kepada peningkatan jumlah gas karbon
iaitu gas rumah hijau di ruang atmosfera bumi. Haba matahari yang pada
kebiasaannya dapat dipantulkan ke permukaan bumi kembali ke angkasa lepas
kemudiannya terperangkap dan menyebabkan suhu bumi semakin meningkat.
Akibatnya, ais di kutub-kutub mula mencair dan meningkatkan paras air laut
sehingga menenggelamkan sesetengah pulau kecil dan menghakis permukaan tanah
besar.
Selain itu, suhu tinggi turut
meninggalkan kesan pada aliran angin yang akan membawa kepada pembentukan lebih
banyak ribut taufan serta hujan monsun yang lebih teruk daripada biasa. Contoh
terbaik dapat dilihat berdasarkan kepada gelombang haba di Eropah yang
menyebabkan angka kematian meningkat sejak tahun 2000. Gelombang
“kepanasan” ini telah menyebabkan suhu ketika musim panas dan musim sejuk kini
jauh lebih tinggi. Malah, ada negara seperti Amerika Syarikat telah
dilanda ribut salji dan ribut taufan yang teruk seperti Taufan Katrina pada
tahun 2005.
Kesan
masalah ini akan terus berpanjangan dan akan semakin serius jika terus
diabaikan atau gagal dikawal. Akibatnya, generasi seterusnya yang akan
menanggung kesan penuh kerakusan generasi kini dalam mencemarkan alam sekitar
semata-mata untuk kekayaan dan kemajuan ekonomi kerana sifattamak haloba. Sebarang
bentuk perubahan melampau pasti akan memberi kesan paling buruk kepada bayi,
kanak-kanak, dan warga emas yang merupakan golongan paling mudah terdedah
menjadi mangsa pertama bencana alam.
Rakyat
Malaysia mungkin dapat menyesuaikan diri dengan suhu yang tinggi dan panas
terik memandangkan sudah biasa dengan iklim tropika bak kata pepatah, “alah
bisa tegal biasa”. Walau bagaimanapun, penduduk yang biasa hidup
dengan iklim sejuk mungkin tidak dapat menyesuaikan diri dan kini mencatatkan
peningkatan kematian akibat strok haba. Strok haba akan menyebabkan kegagalan
semua organ badan berfungsi, sama seperti yang berlaku kepada pesakit demam
panas. Begitu juga dengan penyakit radang paru-paru yang berpunca daripada
penyebaran meluas bakteria yang menyerang paru-paru berikutan cuaca panas dan
lembap serta beberapa faktor lain.
Kesukaran untuk mendapatkan bekalan
air bersih akan mendedahkan orang ramai kepada air yang dicemari pelbagai jenis
kuman. Kesihatan diri sudah pasti akan terancam jika air tercemar digunakan
sebagai air minuman, memasak, membasuh atau membersihkan diri. Bilangan kes cirit-birit
, taun dan pelbagai penyakit bawaan air dilihat meningkat dengan mendadak
ketika musim banjir. Situasi ini diburukkan lagi dengan peningkatan penyakit
bawaan nyamuk akibat pembiakan nyamuk di dalam tompokan air bertakung yang
ditinggalkan arus banjir. Takungan air ini menjadi tempat strategik untuk kuman
yang pantas membiak kerana mendapat bekalan makanan yang cukup dari tumbuhan
dan bangkai haiwan yang mereput.
Masalah ini juga memberi kesan yang
buruk kepada mereka yang gemar bersenam dan beriadah di luar. Hal ini demikian
kerana gas rumah hijau seperti karbon monoksida kini semakin banyak dalam udara
terutamanya di kawasan bandar dan kawasan yang mempunyai bilangan kenderaan
yang banyak. Apabila gas ini disedut terlalu banyak, ketika bersenam atau beriadah,
menyebabkan kandungan oksigen darah jatuh mendadak dan kandungan gas karbon
monoksida yang banyak boleh memberi kesan kepada badan dan jantung.
Pemuliharaan
alam sekitar perlu dipikul bersama dan bukannya bergantung kepada kerajaan atau
pertubuhan-pertubuhan dunia semata-mata bak kata kata pepatah, “ringan
sama dijinjing, berat sama dipikul”. Rakyat turut memainkan
peranan penting dengan mengambil berat akan kesejahteraan sejagat dan tidak
hanya mementingkan kemajuan sendiri tanpa mengambil kira akibat kerakusan
mengejar kekayaan dunia kerana sememangnya orang yang tamak selalu rugi.
Walaupun hanya dengan sumbangan kecil seperti tidak membuat pembakaran terbuka
dan mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor oleh sebanyak mungkin individu,
setidak-tidaknya kita dapat membantu mengawal pemanasan global. Sayangi dan cintailah
bumi kita demi kesejahteraan dan keharmonian kehidupan generasi akan datang.
DAPATAN: http://karanganspm.com