Assalamualaikum buat semua calon PMR..... Berikut adalah beberapa contoh soalan Bahagian D: Novel 6:20.....
Sudi-sudikan la.....
Soalan 1
Berdasarkan novel “6:20”, karya Siti Jasmina Ibrahim,
nyatakan tema bagi novel ini. Berikan tiga contoh peristiwa yang sesuai yang
dapat menggambarkan tema tersebut.
Jawapan:
Novel yang saya kaji berjudul “6:20”, karya Siti Jasmina
Ibrahim. Novel ini membawa tema perjuangan golongan muda dalam menentang
anasir-anasir barat yang mempengaruhi jiwa mereka.
Perjuangan ini diwakili oleh Sukma, Rafiq dan Teja yang
berusaha gigih untuk menyelamatkan golongan remaja (pelajar sekolah menengah
dan universiti) daripada terus hanyut dengan pengaruh pemikiran barat yang
menuntut kebebasan hidup seperti menganggotai kumpulan ‘black metal’ yang telah
dilakukan oleh Jerry.
Selain itu, Sukma dan rakan-rakannya berusaha untuk
menyiasat aktiviti yang dilakukan di Kelab WX2 itu, walaupun mungkin ada bahaya
yang menanti.
Seterusnya, kegigihan Sukma dan rakan-rakannya itu berhasil
apabila usaha mereka itu berjaya dengan kerjasama anggota keselamatan.
Soalan 2
Berdasarkan novel “6:20”, karya Siti Jasmina Ibrahim,
nyatakan tiga persoalan yang terdapat dalam novel ini. Berikan juga contoh
peristiwa yang sesuai bagi menggambarkan persoalan tersebut.
Jawapan:
Novel yang saya kaji berjudul “6:20”, karya Siti Jasmina
Ibrahim. Terdapat beberapa persoalan yang menunjangi novel ini.
Satu daripada persoalan yang terdapat dalam novel ini ialah
kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anaknya. Ibu Sukma berasa sangat bimbang
apabila Sukma ingin berjumpa dengan tetamu-tetamu misteri di hadapan rumahnya
pada jam 6:20 kerana baginya tindakan Sukma akan membawa bahaya kepada dirinya.
Selain itu, persoalan yang lain ialah konflik dalam
keluarga. Persoalan ini dipaparkan melalui konflik yang berlaku antara Puan
Delia dengan anaknya Sukma. Puan Delia beranggapan Sukma mengalami tekanan
perasaan dan telah membelikannya sebuah buku untuk mengurangkan masalahnya. Di
samping itu, tanggungjawab seorang sahabat juga merupakan satu daripada
persoalan yang terdapat dalam novel 6:20 ini. Sebagai contoh, Jerry sanggup
membantu Sukma dengan memberitahu segala maklumat kelab WX2 walaupun Jerry tahu
bahawa nyawanya akan terancam.
Soalan 3:
Berdasarkan novel “6:20”, karya Siti Jasmina Ibrahim,
nyatakan tiga latar masa. Bagi setiap latar masa tersebut, berikan contoh
peristiwa yang berlaku.
Jawapan:
Novel yang saya kaji berjudul “6:20”, karya Siti Jasmina
Ibrahim. Terdapat beberapa latar masa yang dipaparkan dalam novel ini.
Satu daripadanya ialah pada jam 6:20 setiap pagi. Sukma
berasa pelik apabila menerima tetamu yang tidak dikenali di hadapan rumahnya
pada jam 6:20 pagi.
Selain itu, latar masa yang lain ialah pada waktu pagi.
Sukma biasanya akan menghadiri kuliah di universiti pada waktu pagi.
Seterusnya, latar masa yang juga terdapat dalam novel ini
ialah pada waktu petang. Pada suatu petang, Aim telah mengejutkan Sukma
daripada tertidur. Sukma tertidur dalam biliknya kerana keletihan dan kesedihan
mengenangkan keadaan dirinya sekarang berbanding ketika dia masih kecil.
Soalan 4:
Berdasarkan novel “6:20”, karya Siti Jasmina Ibrahim,
nyatakan tiga latar masyarakat. Bagi setiap latar masyarakat tersebut, berikan
contoh peristiwa yang berlaku.
Jawapan:
Novel yang saya kaji berjudul “6:20”, karya Siti Jasmina
Ibrahim. Dalam novel ini terdapat beberapa latar masyarakat yang dipaparkan.
Pertama, latar masyarakat yang terdapat dalam novel ini
ialah masyarakat yang mengambil berat terhadap golongan muda. Peristiwa yang
berkaitan latar masyarakat ini ialah Puan Delia iaitu ibu kepada Sukma menyamar
sebagai salah seorang ahli kumpulan WX2 dengan menjadi pemerhati dalam kumpulan
tersebut untuk mengetahui pergerakan kumpulan tersebut.
Selain itu, latar masyarakat yang lain
pula ialah masyarakat yang tabah menghadapi dugaan dan cabaran. Sebagai contoh,
Nenek dan Aim tabah menghadapi dugaan dengan menjual buah manggis untuk menyara
kehidupan mereka berdua, selepas anaknya (ayah Aim) meninggal dunia, ditambah
lagi ibu Aim yang lari meninggalkan dia dan Aim.
Latar masyarakat yang
seterusnya ialah masyarakat yang mudah terpengaruh oleh golongan pemikiran
Barat. Hal ini dapat dilihat apabila Iskandar, Jerry dan Reny yang menyertai
kumpulan WX2 yang memperjuangkan kebebasan mutlak akibat dipengaruhi pemikiran
Barat.
Soalan 5:
Berdasarkan novel “6:20”, karya Siti Jasmina Ibrahim,
nyatakan tiga nilai. Huraikan contoh peristiwa yang berlaku yang sesuai dengan
setiap nilai tersebut.
Jawapan:
Novel yang saya kaji berjudul “6:20”, karya Siti Jasmina
Ibrahim. Terdapat beberapa nilai dalam novel ini.
Nilai yang pertama ialah kasih sayang. Ibu Sukma
menghadiahkan Sukma sebuah buku kerana risau tentang diri Sukma yang dikatakan
mengalami tekanan perasaan. Hal ini menunjukkan kasih sayang seorang ibu
terhadap anaknya.
Selain itu, nilai yang lain ialah bantu-membantu. Tuan Haji
Syaqir berjaya membantu Ehsan dengan mengumpulkan dana bagi membiayai
pembedahan jantung dan rawatan kulit Ehsan.
Di samping itu, nilai seterusnya ialah setia kawan. Sukma
dan Rafiq sanggup menasihati dan menghadapi bahaya untuk menyelamatkan rakan
baik mereka iaitu Jerry dan Iskandar daripada terus dipengaruhi pemikiran barat
melalui penglibatan mereka dalam “ruang sepi” di Kelab WX2.
Soalan 6:
Berdasarkan novel “6:20”, karya Siti Jasmina Ibrahim,
nyatakan tiga pengajaran. Huraikan contoh peristiwa yang berlaku yang sesuai
dengan setiap pengajaran tersebut.
Jawapan:
Novel yang saya kaji berjudul “6:20”, karya Siti Jasmina
Ibrahim. Dalam novel ini terdapat beberapa pengajaran yang dapat diambil
iktibar.
Pengajaran yang pertama ialah kita hendaklah menghormati
golongan yang lebih tua daripada kita. Sukma menghormati ibunya dengan tidak
pergi menemui tetamu-tetamu misteri yang berkunjung ke rumahnya apabila dia
ditegah oleh ibunya kerana bimbang akan keselamatannya.
Kedua, seorang sahabat hendaklah mempunyai sikap setia
kawan. Sukma dan Rafiq sanggup menghadapi bahaya untuk menyelamatkan rakan baik
mereka iaitu Jerry dan Iskandar daripada terus dipengaruhi dengan pemikiran
barat.
Ketiga, kita hendaklah tabah menghadapi dugaan dan cabaran.
Nenek dan Aim tabah menghadapi dugaan dengan menjual buah manggis untuk menyara
kehidupan mereka berdua, selepas anaknya (ayah Aim) meninggal dunia, ditambah
lagi ibu Aim yang lari meninggalkan dia dan Aim.
latar tempat tak ade ke
ReplyDelete