Thursday, October 4, 2012

Contoh Karangan...2



Tajuk / tema karangan: PEMANASAN GLOBAL

Fokus karangan: KESAN/AKIBAT

Format karangan: Tiada (Pendapat/Perbincangan)


KESAN PEMANASAN GLOBAL
Pemanasan global telah menyebabkan bumi mengalami “demam panas” yang turut  menjadi penyebab utama iklim dunia menjadi semakin kucar-kacir.  Bagi kebanyakan orang, perubahan iklim dan pemanasan global lebih banyak mengganggu sistem ekonomi berbanding dengan kesihatan diri.  Walau bagaimanapun, kesan pemanasan global jauh lebih mendalam dan akan meninggalkan kesan kepada semua penduduk dunia.  Mungkin juga ada antara kita yang melihat mereka yang terbunuh akibat bencana alam seperti taufan, banjir dan cuaca panas sebagai nasib malang semata-mata.
Namun, bagi yang terselamat, mereka sebenarnya terdedah kepada ancaman kesihatan selepas terselamat daripada lemas, mati kesejukan atau dehidrasi.  Percaya atau tidak, peningkatan suhu bumi telah membunuh lebih satu juta orang di seluruh dunia sejak tahun 2000 sama ada secara langsung ataupun tidak.  Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengeluarkan perangkaan tersebut menjelaskan separuh daripada jumlah kematian itu berlaku di Asia Pasifik, benua yang paling padat penduduk. Selain itu, jumlah berkenaan belum ditambah dengan ribuan mangsa yang terbunuh akibat pencemaran udara setiap tahun ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.
Pemanasan global yang berpunca daripada pencemaran udara akan menyumbang kepada peningkatan jumlah gas karbon iaitu gas rumah hijau di ruang atmosfera bumi.  Haba matahari yang pada kebiasaannya dapat dipantulkan ke permukaan bumi kembali ke angkasa lepas kemudiannya terperangkap dan menyebabkan suhu bumi semakin meningkat.  Akibatnya, ais di kutub-kutub mula mencair dan meningkatkan paras air laut sehingga menenggelamkan sesetengah pulau kecil dan menghakis permukaan tanah besar.
Selain itu, suhu tinggi turut meninggalkan kesan pada aliran angin yang akan membawa kepada pembentukan lebih banyak ribut taufan serta hujan monsun yang lebih teruk daripada biasa. Contoh terbaik dapat dilihat berdasarkan kepada gelombang haba di Eropah yang menyebabkan angka kematian meningkat sejak tahun 2000.  Gelombang “kepanasan” ini telah menyebabkan suhu ketika musim panas dan musim sejuk kini jauh lebih tinggi.  Malah, ada negara seperti Amerika Syarikat telah dilanda ribut salji dan ribut taufan yang teruk seperti Taufan Katrina pada tahun 2005.
Kesan masalah ini akan terus berpanjangan dan akan semakin serius jika terus diabaikan atau gagal dikawal.  Akibatnya, generasi seterusnya yang akan menanggung kesan penuh kerakusan generasi kini dalam mencemarkan alam sekitar semata-mata untuk kekayaan dan kemajuan ekonomi kerana sifattamak haloba. Sebarang bentuk perubahan melampau pasti akan memberi kesan paling buruk kepada bayi, kanak-kanak, dan warga emas yang merupakan golongan paling mudah terdedah menjadi mangsa pertama bencana alam.
Rakyat Malaysia mungkin dapat menyesuaikan diri dengan suhu yang tinggi dan panas terik memandangkan sudah biasa dengan iklim tropika bak kata pepatah, “alah bisa tegal biasa”. Walau bagaimanapun, penduduk yang biasa hidup dengan iklim sejuk mungkin tidak dapat menyesuaikan diri dan kini mencatatkan peningkatan kematian akibat strok haba. Strok haba akan menyebabkan kegagalan semua organ badan berfungsi, sama seperti yang berlaku kepada pesakit demam panas. Begitu juga dengan penyakit radang paru-paru yang berpunca daripada penyebaran meluas bakteria yang menyerang paru-paru berikutan cuaca panas dan lembap serta beberapa faktor lain.
Kesukaran untuk mendapatkan bekalan air bersih akan mendedahkan orang ramai kepada air yang dicemari pelbagai jenis kuman. Kesihatan diri sudah pasti akan terancam jika air tercemar digunakan sebagai air minuman, memasak, membasuh atau membersihkan diri. Bilangan kes cirit-birit , taun dan pelbagai penyakit bawaan air dilihat meningkat dengan mendadak ketika musim banjir. Situasi ini diburukkan lagi dengan peningkatan penyakit bawaan nyamuk akibat pembiakan nyamuk di dalam tompokan air bertakung yang ditinggalkan arus banjir. Takungan air ini menjadi tempat strategik untuk kuman yang pantas membiak kerana mendapat bekalan makanan yang cukup dari tumbuhan dan bangkai haiwan yang mereput.
Masalah ini juga memberi kesan yang buruk kepada mereka yang gemar bersenam dan beriadah di luar. Hal ini demikian kerana gas rumah hijau seperti karbon monoksida kini semakin banyak dalam udara terutamanya di kawasan bandar dan kawasan yang mempunyai bilangan kenderaan yang banyak. Apabila gas ini disedut terlalu banyak, ketika bersenam atau beriadah, menyebabkan kandungan oksigen darah jatuh mendadak dan kandungan gas karbon monoksida yang banyak boleh memberi kesan kepada badan dan jantung.
Pemuliharaan alam sekitar perlu dipikul bersama dan bukannya bergantung kepada kerajaan atau pertubuhan-pertubuhan dunia semata-mata bak kata kata pepatah, “ringan sama dijinjing, berat sama dipikul”. Rakyat turut memainkan peranan penting dengan mengambil berat akan kesejahteraan sejagat dan tidak hanya mementingkan kemajuan sendiri tanpa mengambil kira akibat kerakusan mengejar kekayaan dunia kerana sememangnya orang yang tamak selalu rugi. Walaupun hanya dengan sumbangan kecil seperti tidak membuat pembakaran terbuka dan mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor oleh sebanyak mungkin individu, setidak-tidaknya kita dapat membantu mengawal pemanasan global. Sayangi dan cintailah bumi kita demi kesejahteraan dan keharmonian kehidupan generasi akan datang.

Contoh Karangan...




Tajuk / tema karangan: Kehidupan Bermasyarakat

Fokus karangan: Kepentingan / kebaikan

Format karangan: Tiada (Pendapat/Perbincangan)

1.  PERENGGAN INTRODUKSI JENIS GABUNGAN
[Ayat Rangsangan] Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah pernah menekankan bahawa kehidupan bermasyarakat merupakan satu ciri signifikan dalam kamus hidup rakyat Malaysia. [Ayat Huraian 1] Malangnya, semangat kehidupan bermasyarakat dan nilai-nilai kemasyarakatan, terutamanya konsep jiran sepakat membawa berkat, dalam kalangan masyarakat kita semakin terhakis. [Ayat Huraian 1] Menurut beliau, mereka hidup berkonsepkan enau dalam belukar melepaskan pucuknya masing-masing. [Ayat Huraian 2] Saya memang menyetujui pandangan beliau kerana rakyat kita tidak merasakan diri mereka bertanggungjawab untuk mengetahui keadaan sekitar rumah mereka sama ada rumah jiran dimasuki pencuri, anak jiran menghidu gam, isteri jiran curang, anak jiran menjadi mangsa penderaan ataupun anak gadis jiran lari dari rumah. [Ayat Arahan] Jadi, langkah-langkah proaktif dan pragmatik haruslah diambil dalam usaha menghidupsuburkan semangat kehidupan bermasyarakat sebelum kudis menjadi tokak.

2.  PERENGGAN ISI 2 (JENIS DEDUKTIF)
[Ayat Judul] Kehidupan bermasyarakat, tidak dapat disangkal, dapat diamalkan menerusi semangat kejiranan. [Pengembangan: Ayat Huraian 1] Antaranya termasuklah amalan bertegur sapa sesama jiran, meluangkan masa untuk bertandang ke rumah jiran, menghulurkan bantuan kepada jiran, aktiviti bergotong-royong seperti berderau, perkelahan keluarga, dan aktiviti riadah. [Pengembangan: Ayat Huraian 2]Semangat ini dapat menjalin persaudaraan, mewujudkan keharmonian, memupuk perpaduan, dan melahirkan masyarakat yang prihatin. [Pengembangan: Ayat Contoh 1]Apabila jiran tetangga ditimpa nasib malang, seperti mangsa kebakaran, kita bukan sahaja perlu menyumbangkan wang ringgit malah memberikan sokongan moral. Dengan ini, konsep berat mata memandang, berat  lagi bahu memikul terpupuk dalam lubuk kalbu masyarakat. [Pengembangan: Ayat Contoh 2] Apabila tanah sawah diusahakan secara berderau, kerja yang berat dapat diringankan bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Lebih-lebih lagi, bertandang ke rumah jiran tetangga pada hari perayaan mahupun kenduri perkahwinan dapat menjalin tali persahabatan yang erat. [Ayat Penyimpul]Dengan erti kata lain, semangat kejiranan dalam pelbagai aspek kehidupan dapat mewujudkan kehidupan bermasyarakat.

3.  PERENGGAN ISI 3 (JENIS DEDUKTIF)
[Ayat Judul]Sistem hidup bermasyarakat juga dapat dihidupsuburkan melalui majlis-majlis sosial dan perayaan. [Pengembangan: Ayat Huraian 1] Kegiatan-kegiatan sosial dapat memupuk konsep bulat air dek pembetung, bulat manusia dek muafakat dan ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni dalam kalangan penduduk setempat. [Pengembangan: Ayat Huraian 2] Antara aktiviti kemasyarakatan yang menekankan konsep hidup bermasyarakat termasuklah Hari Keluarga, Rumah Terbuka, dan sebagainya. [Pengembangan: Ayat Huraian 3] Dalam hal ini,  masyarakat tidak seharusnya melibatkan ahli-ahli keluarga sahaja, sebaliknya haruslah meluaskan skopnya dengan membabitkan seluruh masyarakat setempat, sanak saudara, dan sahabat handai. [Pengembangan: Ayat ContohDalam menjayakan majlis-majlis tersebut, semua anggota masyarakat berganding bahu menyediakan juadah dan minuman, mendirikan tenda, dan menyusun atur kerusi meja untuk tetamu. [Pengembangan: Ayat Huraian 4] Dalam situasi inilah, rakyat dapat berinteraksi dan berkomunikasi sekali gus mempererat tali silaturahim antara satu sama lain tanpa mengira warna kulit, budaya, agama, adat, dan kepercayaan, di samping memeriahkan suasana majlis ataupun perayaan lagi. [Ayat Penyimpul] Pendek kata, aktiviti-aktiviti sosial perlu diperbanyak dan dipergiat demi memupuk budaya bermasyarakat dalam kalangan warga desa mahupun warga bandar.

4.  PERENGGAN ISI 3 (JENIS DEDUKTIF)
[Ayat Judul]Selain itu, budaya hidup bermasyarakat dapat dipupuk melalui didikan agama dan moral. [Pengembangan: Ayat Huraian 1] Dalam masyarakat Melayu tradisional, umpamanya, fungsi dan tanggungjawab jiran dianggap penting dari segi agama. [Pengembangan: Ayat Huraian 2] Hal ini demikian kerana agama menegaskan keperluan yang dipikul bersama oleh semua anggota masyarakat bagi menunaikan sesuatu ibadat. [Pengembangan: Ayat Contoh] Ketika menyambut Hari Raya Aidiladha ataupun Hari Raya Korban, umat Islam menggembleng tenaga untuk menyembelih korban untuk disedekahkan kepada fakir miskin. [Pengembangan: Ayat Huraian 2] Dari perspektif yang lain pula, semangat kejiranan dapat diterapkan melalui didikan moral. [Pengembangan: Ayat Huraian 2] Dalam konteks ini, pihak sekolah memainkan peranan yang penting dalam memupuk dan menyemaikan semangat bekerjasama dan bertolak ansur dalam kalangan warga sekolah. [Pengembangan: Ayat Contoh] Melalui kempen gotong-royong, warga sekolah bukan sahaja akan membantu menceriakan pekarangan sekolah malah menjalin tali ukhuwah antara satu sama lain. [Ayat Penyimpul] Dengan ini, kehidupan bermasyarakat akan menjadi sebati atau menjadi darah daging masyarakat kita.

5.  PERENGGAN INTIHA
[Ayat Kesimpulan] Sebagai intiha, kehidupan bermasyarakat dapat menjadi realiti sekiranya langkah-langkah yang dibincangkan dipraktikkan oleh segenap lapisan masyarakat. [Ayat Penilaian] Semangat ini dapat mendorong terjalinnya hubungan baik antara kaum dan mewujudkan integrasi kaum. [Ayat Penilaian]Perpaduan kaum akan membolehkan rakyat Malaysia hidup harmoni dan sejahtera, bak kata pepatah bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.[Ayat Cadangan]Jadi, semua pihak sewajarnya menjadikan kehidupan bermasyarakat sebagai agenda kehidupan demi menikmati kebahagiaan, kemakmuran, keamanan, dan kemajuan. [Ayat Harapan 2]Dengan ada kesedaran ini, bunga-bunga kesejahteraan, kegemilangan dan keharmonian akan mekar di empat pojok di tanah tumpah darah kita.[Ayat Harapan 2]Tidak ketinggalan juga, konsep 1Malaysia dan Wawasan 2020 akan menjadi kenyataan dan kita dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa maju yang lain di persada antarabangsa.

DAPATAN:http://karanganspm.com

ANALISIS SOALAN KOMSAS PEPERIKSAAN PERCUBAAN PMR ANTARA NEGERI 2012








Semoga dapat dimanfaatkan oleh semua guru dan murid di seluruh negara khususnya yang bakal terlibat dengan Penilaian Menengah Rendah 2012. Selama maju jaya!!!


Tuesday, October 2, 2012

CERPEN "BUDI SEMANGKUK DAGING"



Watak utama:  Puan Ainun / pemilik rumah di kejiranan berkenaan sejak 6 tahun
Watak lain:  Hanif / anak Puan Ainun / adik Shafiq
                :  Shafiq / anak Puan Ainun / abang Hanif
                :  Mak Cik Cheng / jiran Puan Ainun
                :  Mak Cik Punita / jiran Puan Ainun / berusia 30-an / orang Ipoh
                :  Mak Cik Salbiah / jiran di sebeleh belakang rumah Puan Ainun / tukang beri resepi daging masak Minang
                :  Encik Hilal / suami Puan Ainun

Latar tempat:  rumah Puan Ainun
                   :  kawasan kejiranan berbilang kaum

Latar masa:  petang (waktu memasak daging masak Minang / ketika keluarga Puan Ainun menikmati bubur kacang)
                 :  pagi  (ketika Puan Ainun menyidai pakaian / meninjau rumah Punita)
                 :  satu minggu sebelumnya (imbas kembali Puan Ainun tentang jualan langsung Punita)


Sinopsis cerpen


Puan Ainun tersenyum kerana resepi daging masak Minang yang diberi oleh Puan Salbiah, jirannya menjadi. Sementera menunggu daging empuk, dia menyediakan empat biji mangkuk kaca untuk dihantar kepada jiran-jirannya. Dua orang anaknya, Shafiq dan Hanif ditugaskan menghantar masakan itu kepada Mak Cik Cheng dan Mak Cik Punita, sedangkan dia sendiri akan ke rumah Puan Salbiah. Bertukar-tukar makanan sudah menjadi biasa bagi mereka. Namun, apabila kembali, Hanif memberitahu bahawa Puan Punita menyuruhnya membawa balik pemberian mereka. Puan Ainun berasa pelik kerana dia dan Punita yang baharu menyewa 6 bulan di situ tidak pernah berselisih faham. Kemudian, Puan Ainun teringat peristiwa dia menolak dengan baik produk jualan langsung makanan kesihatan Punita. Dia mula syak bahawa Punita menyimpan dendam. Dua hari yang lepas pula Punita tergesa-gesa masuk kereta dan hanya tersenyum tanpa kata. Selama ini Puan Ainun biasa mengangkat pakaian jemuran Punita dan menyiram pokok bunga jirannya itu. Sejak itu, Puan Ainun nekad untuk renggang dengan Punita. Ketika melihat pagar rumah sewa Punita dikunci dengan mangga besar, Puan Ainun tambah geram kerana sebelum ini Punita akan meninggalkan kunci kepadanya.

Ketika asyik melayan perasaan tentang Punita sambil menyidai pakaian, Puan Ainun disapa oleh Puan Cheng. Masakan Puan Ainun dipuji dan akan dibalas dengan kek coklat. Walaupun Puan Ainun tidak lagi mahu menyiram pokok bunga Punita, tetapi Shafiq dan Hanif pula yang berbuat demikian tanpa disuruh. Setelah lima hari, baru Punita pulang, tetapi Puan Ainun pura-pura tidak nampak. Pada petang hari itu, Puan Ainum memasak bubur kacang dan menikmatinya bersama suami, Encik Hilal dan dua orang anak mereka. Dia hanya menghantar bubur kacang kepada puan Cheng, tidak untuk Punita. Ketika hendak berkemas, tiba-tiba Shafiq membimbit sebuah beg plastik berisi limau bali pemberian Mak Cik Punita. Puan Ainun muncung dan meminta Shafiq memulangkan semula limau bali itu. Shafiq terpinga-pinga, manakala Encik Hilal hairan akan "pergaduhan" itu. Encik Hilal hanya menggeleng tanda kesal apabila Puan Ainun bercerita tentang penolakan Punita tempoh hari. Encik Hilal mengingatkan bahawa Punita beragama Hindu dan tidak makan daging (lembu). Puan Ainun menepuk dahi, lalu bingkas ke dapur menyiapkan mangkuk bubur kacang untuk dihantar sendiri kepada Punita.

Perwatakan: peramah, pemurah, cekap / teliti, patuh / taat, suka menolong, tegas, menghormati jiran

Latar masyarakat: masyarakat perumahan berbilang kaum
                          :  masyarakat yang peramah
                          :  masyarakat yang pemurah
                          :  masyarakat yang cekap / teliti dalam kerja (memasak)
                          :  masyarakat yang patuh / taat (Syafiq, Hanif)
                          :  masyarakat yang suka menolong orang lain / jiran tetangga
                          :  masyarakat yang tegas (Puan Ainun tidak membeli produk jualan langsung Punita)
                          :  masyarakat yang menghormati jiran tetangga

Nilai murni:  keramahan, kemurahan hati, kecekapan / ketelitian, tolong-menolong, ketegasan, hormat-menghormati

Persoalan:  Keramahan dalam komunikasi sesama jiran
               :  Kemurahan hati berkongsi makanan / rezeki
               :  Kecekapan / ketelitian dalam kerja
               :  Kepatuhan / ketaatan terhadap suruhan ibu bapa / nasihat suami
               :  Tolong-menolong sesama jiran
               :  Ketegasan dalam membuat keputusan
               :  Hormat-menghormati sesama jiran tetangga

Pengajaran:  kita hendaklah ramah dalam komunikasi sesama jiran tetangga
                 :  kita hendaklah murah hati dalam berkongsi nikmat makanan / rezeki
                 :  kita hendaklah cekap / teliti dalam sesuatu pekerjaan
                 :  kita hendaklah patuh / taat terhadap suruhan ibu bapa / nasihat suami
                 :  kita hendaklah bersedia menolong jiran
                 :  kita hendaklah tegas dalam membuat keputusan (dengan bijak / tidak menyinggung sesiapa)
                 :  kita hendaklah menghormati jiran tetangga


Tema:  perpaduan kaum dalam kawasan kejiranan

kbkk:  berfikir dan bertindak secara holistik (timbang masak-masak, melihat semua sudut dan kemungkinan)
        :  kempen kejiranan yang berkesan
        :  kekangan komunikasi antara jiran tetangga

Bahagian D: Novel 6:20

Assalamualaikum buat semua calon PMR..... Berikut adalah beberapa contoh soalan Bahagian D: Novel 6:20.....

Sudi-sudikan la.....

Soalan 1



Berdasarkan novel “6:20”, karya Siti Jasmina Ibrahim, nyatakan tema bagi novel ini. Berikan tiga contoh peristiwa yang sesuai yang dapat menggambarkan tema tersebut.

Jawapan:

          Novel yang saya kaji berjudul “6:20”, karya Siti Jasmina Ibrahim. Novel ini membawa tema perjuangan golongan muda dalam menentang anasir-anasir barat yang mempengaruhi jiwa mereka.
          Perjuangan ini diwakili oleh Sukma, Rafiq dan Teja yang berusaha gigih untuk menyelamatkan golongan remaja (pelajar sekolah menengah dan universiti) daripada terus hanyut dengan pengaruh pemikiran barat yang menuntut kebebasan hidup seperti menganggotai kumpulan ‘black metal’ yang telah dilakukan oleh Jerry.
           Selain itu, Sukma dan rakan-rakannya berusaha untuk menyiasat aktiviti yang dilakukan di Kelab WX2 itu, walaupun mungkin ada bahaya yang menanti.
Seterusnya, kegigihan Sukma dan rakan-rakannya itu berhasil apabila usaha mereka itu berjaya dengan kerjasama anggota keselamatan.


Soalan  2


Berdasarkan novel “6:20”, karya Siti Jasmina Ibrahim, nyatakan tiga persoalan yang terdapat dalam novel ini. Berikan juga contoh peristiwa yang sesuai bagi menggambarkan persoalan tersebut.

Jawapan:
Novel yang saya kaji berjudul “6:20”, karya Siti Jasmina Ibrahim. Terdapat beberapa persoalan yang menunjangi novel ini.
Satu daripada persoalan yang terdapat dalam novel ini ialah kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anaknya. Ibu Sukma berasa sangat bimbang apabila Sukma ingin berjumpa dengan tetamu-tetamu misteri di hadapan rumahnya pada jam 6:20 kerana baginya tindakan Sukma akan membawa bahaya kepada dirinya.
Selain itu, persoalan yang lain ialah konflik dalam keluarga. Persoalan ini dipaparkan melalui konflik yang berlaku antara Puan Delia dengan anaknya Sukma. Puan Delia beranggapan Sukma mengalami tekanan perasaan dan telah membelikannya sebuah buku untuk mengurangkan masalahnya. Di samping itu, tanggungjawab seorang sahabat juga merupakan satu daripada persoalan yang terdapat dalam novel 6:20 ini. Sebagai contoh, Jerry sanggup membantu Sukma dengan memberitahu segala maklumat kelab WX2 walaupun Jerry tahu bahawa nyawanya akan terancam.


Soalan 3:


Berdasarkan novel “6:20”, karya Siti Jasmina Ibrahim, nyatakan tiga latar masa. Bagi setiap latar masa tersebut, berikan contoh peristiwa yang berlaku.

Jawapan:

Novel yang saya kaji berjudul “6:20”, karya Siti Jasmina Ibrahim. Terdapat beberapa latar masa yang dipaparkan dalam novel ini.
       Satu daripadanya ialah pada jam 6:20 setiap pagi. Sukma berasa pelik apabila menerima tetamu yang tidak dikenali di hadapan rumahnya pada jam 6:20 pagi.
Selain itu, latar masa yang lain ialah pada waktu pagi. Sukma biasanya akan menghadiri kuliah di universiti pada waktu pagi.
        Seterusnya, latar masa yang juga terdapat dalam novel ini ialah pada waktu petang. Pada suatu petang, Aim telah mengejutkan Sukma daripada tertidur. Sukma tertidur dalam biliknya kerana keletihan dan kesedihan mengenangkan keadaan dirinya sekarang berbanding ketika dia masih kecil.


Soalan 4:

Berdasarkan novel “6:20”, karya Siti Jasmina Ibrahim, nyatakan tiga latar masyarakat. Bagi setiap latar masyarakat tersebut, berikan contoh peristiwa yang berlaku.

Jawapan:

       Novel yang saya kaji berjudul “6:20”, karya Siti Jasmina Ibrahim. Dalam novel ini terdapat beberapa latar masyarakat yang dipaparkan.
       Pertama, latar masyarakat yang terdapat dalam novel ini ialah masyarakat yang mengambil berat terhadap golongan muda. Peristiwa yang berkaitan latar masyarakat ini ialah Puan Delia iaitu ibu kepada Sukma menyamar sebagai salah seorang ahli kumpulan WX2 dengan menjadi pemerhati dalam kumpulan tersebut untuk mengetahui pergerakan kumpulan tersebut. 
         Selain itu, latar masyarakat yang lain pula ialah masyarakat yang tabah menghadapi dugaan dan cabaran. Sebagai contoh, Nenek dan Aim tabah menghadapi dugaan dengan menjual buah manggis untuk menyara kehidupan mereka berdua, selepas anaknya (ayah Aim) meninggal dunia, ditambah lagi ibu Aim yang lari meninggalkan dia dan Aim.
        Latar masyarakat yang seterusnya ialah masyarakat yang mudah terpengaruh oleh golongan pemikiran Barat. Hal ini dapat dilihat apabila Iskandar, Jerry dan Reny yang menyertai kumpulan WX2 yang memperjuangkan kebebasan mutlak akibat dipengaruhi pemikiran Barat.

Soalan 5:



Berdasarkan novel “6:20”, karya Siti Jasmina Ibrahim, nyatakan tiga nilai. Huraikan contoh peristiwa yang berlaku yang sesuai dengan setiap nilai tersebut.

Jawapan:

        Novel yang saya kaji berjudul “6:20”, karya Siti Jasmina Ibrahim. Terdapat beberapa nilai dalam novel ini.
        Nilai yang pertama ialah kasih sayang. Ibu Sukma menghadiahkan Sukma sebuah buku kerana risau tentang diri Sukma yang dikatakan mengalami tekanan perasaan. Hal ini menunjukkan kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya.
         Selain itu, nilai yang lain ialah bantu-membantu. Tuan Haji Syaqir berjaya membantu Ehsan dengan mengumpulkan dana bagi membiayai pembedahan jantung dan rawatan kulit Ehsan.
          Di samping itu, nilai seterusnya ialah setia kawan. Sukma dan Rafiq sanggup menasihati dan menghadapi bahaya untuk menyelamatkan rakan baik mereka iaitu Jerry dan Iskandar daripada terus dipengaruhi pemikiran barat melalui penglibatan mereka dalam “ruang sepi” di Kelab WX2.


Soalan 6:



Berdasarkan novel “6:20”, karya Siti Jasmina Ibrahim, nyatakan tiga pengajaran. Huraikan contoh peristiwa yang berlaku yang sesuai dengan setiap pengajaran tersebut.

Jawapan:

        Novel yang saya kaji berjudul “6:20”, karya Siti Jasmina Ibrahim. Dalam novel ini terdapat beberapa pengajaran yang dapat diambil iktibar.
        Pengajaran yang pertama ialah kita hendaklah menghormati golongan yang lebih tua daripada kita. Sukma menghormati ibunya dengan tidak pergi menemui tetamu-tetamu misteri yang berkunjung ke rumahnya apabila dia ditegah oleh ibunya kerana bimbang akan keselamatannya.
       Kedua, seorang sahabat hendaklah mempunyai sikap setia kawan. Sukma dan Rafiq sanggup menghadapi bahaya untuk menyelamatkan rakan baik mereka iaitu Jerry dan Iskandar daripada terus dipengaruhi dengan pemikiran barat.
      Ketiga, kita hendaklah tabah menghadapi dugaan dan cabaran. Nenek dan Aim tabah menghadapi dugaan dengan menjual buah manggis untuk menyara kehidupan mereka berdua, selepas anaknya (ayah Aim) meninggal dunia, ditambah lagi ibu Aim yang lari meninggalkan dia dan Aim.

Wednesday, March 21, 2012

DRAMA "CABARAN"



Penulis skrip:  A. Ghaafar bin Ibrahim (AGI) / Abdul Ghafar bin Ibrahim

Profil AGI: Bekas guru SMK Khir Johari, Beranang, Selangor. Berkelulusan sijil perguruan MPIK, BFA (Northen Illinois), MA (Eastern Illinois). Berasal daripada keluarga seni, kemudian menjadi pensyarah di UiTM dan UKM. AGI dekenali sebagai pelopor konsep 3V: verbal-vokal-visual untuk tujuan deklemasi puisi beliau di serata dunia. AGI menghasilkan puluhan karya penulisan dan lukisan yang bernilai tinggi.

Sumber rujukan:  Antologi Harga Sebuah Lukisan, muka surat 126 - 140
Bilangan babak:  6

Watak:  Yahya (Ketrua Pemuda)
          :  Mariah  (isteri Yahya)
          :  Firdaus  (pemimpin belia / penyokong Yahya)
          :  Hani  (adik Firdaus / penyokong Yahya)
          :  Encik Osman  (ahli parlimen)
          :  Zainal  (rakan Yahya / mementingkan diri)
          :  Husin  (belia yang pesimis)

Latar tempat:  rumah Yahya
                   :  rumah Firdaus
                   :  balai raya

Latar masa:  malam / selepas makan malam
                 :  petang

Sinopsis Drama

I
Selepas makan malam di rumahnya, Yahya membuka bicara dengan membangkitkan angin perubahan yang menandakan masyarakat sedang berhadapan dengan cabaran kemajuan ekonomi dan pelajaran. Firdaus berpendapat mesti ada pejuang yang tidak banyak bercakap, manakala Hani kesal akan sikap bersidai di kedai kopi. Husin bersetuju bahawa tentang keperluan belajar berniaga, tetapi Zainal mencemuh "orang kita" yang cuma kaya cita-cita. Mariah mencadangkan perniagaan kecil-kecilan, tetapi Hani hairan Haji Dollah peruncit masih di takuk lama. Firdaus menyebut tentang masalah hutang, manakala Yahya membangkitkan sikap manja. Zainal membidas kritik yang dilemparkan dan mahu menjaga perut sendiri sahaja, malah menganggap dirinya tidak salah. Dia menganggap masyarakat sebagai beku. Husin turut membidas Zainal yang enggan menerima prinsip kemanusiaan yang dianggapnya pura-pura.

II
Setelah tetamu pulang, tinggal Yahya dan isterinya Mariah menyambung perbualan. Yahya berpendapat bahawa percakapan orang muda seperti Zainal dan Husin tidak bernas. Dia mahu masyarakat keluar daripada kemunduran ekonomi dan pelajaran. Mariah membangkitkan semula soal wang, lalu Yahya menyatakan hasrat untuk menubuhkan tabung pelajaran di kampung mereka. Kelas kepimpinan dan syarikat kerjasama perlu dimulakan supaya mereka tidak terus ditindas. Yahya begitu yakin.

III
Sementara itu, Firdaus dan adiknya menyambung perbualan di rumah mereka sendiri. Hani kesal melihat anak-anak muda yang melepak di tepi tembok. Firdaus menyalahkan masyarakat yang beku, termasuk mereka berdua, sebagai punca. Keberanian mengakui kelemahan diri ialah jalan menuju kemajuan. Kerjasama boleh menggantikan modal kewangan. Apabila Hani mengatakan tentang cakap senang, Firdaus tegas membalas bahawa perancangan bermula dengan cakap dahulu. Hani mengingatkan bahawa semangat mesti diikuti oleh tenaga, usaha dan daya utama.

IV
Di rumahnya sendiri, Yahya bersendirian bermonolog. Dia bercakap tentang Encik Osman, ahli parlimen yang sudah lupa balik kawasan untuk menunaikan janji pilihan raya. Dahulu semasa berkempen, pidato sahaja yang berapi-api. Kini di parlimen, sibuk dengan pantun pula. Yahya berasa Encik Osman tidak ikhlas. Semasa kempen (imbas kembali), Encik Osman kononnya sanggup berkorban harta dan nyawa demi membantu orang kampung keluar daripada kemiskinan. Surat Encik Osman di tangan Yahya yang bersulam janji manis disifatkan oleh Yahya sebagai dusta. Yahya mahu wakli rakyat melaksanakan tanggungjawab, serta tidak menganggap pengundi sebagi tangga sahaja.

V
Di balai raya hanya pemuda yang berbual. Sambil merujuk rencana akhbar, Yahya bersetuju bahawa masyarakat mesti digalakkan menceburi bidang perusahaan. Zainal mencelah bahawa masyarakat kita tidak layak berniaga dan berhujah tentang Syarikat Kilang Padi yang baru ditutup. Firdaus segera membidas Zainal sebagai oportunis sama seperti Encik Osman yang cepat gelap mata melesapkan wang syarikat. Firdaus mahu orang Melayu lebih agresif, tetapi Husin bimbang adat resam dan budi bahasa orang Melayu tergadai. Firdaus menjelaskan tentang ajaran Islam dan ciri dinamik dan progresif generasi baharu. Yahya menambah tentang ciri keras kepala dan menolak sikap tidak apa. Firdaus dan Husin mahu mereka mencontohi usaha Nabi Muhammad SAW yang membawa alam cerah ke Tanah Arab. Semua sekali bersetuju, kecuali Zainal yang masih bermenung.

VI
Di rumah Yahya, enam sahabat itu merayakan kejayaan rancangan persatuan mereka yang tersiar di akhbar. Keberanian menuntut hak, muafakat dan perpaduan ialah kunci kemenangan. Zainal mula faham keperluan berani bersuara demi melahirkan angkatan baharu yang maju.

Perwatakan:  tegas / teguh pendirian / istiqamah / asertif
                  :  berani / berpandangan jauh /berwawasan / bersikap terbuka
                  :  yakin diri / optimistik / berfikiran positif
                  :  peka / prihatin / ambil berat
                  :  mementingkan diri sendiri
                  :  pura-pura / hipokrit / bermuka-muka

Latar masyarakat:  masyarakat yang tegas / teguh pendirian / istiqamah / asertif
                          :  masyarakat yang berani / berpandangan jauh / berwawasan / bersikap terbuka
                          :  masyarakat yang yakin diri / optimistik / berfikiran positif
                          :  masyarakat yang  peka / prihatin / ambil berat
                          :  masyarakat yang mementingkan diri sendiri
                          :  masyarakat yang berpura-pura / hipokrit / bermuka-muka

Nilai murni:  ketegasan / keteguhan pendirian
                :  keberanian
                :  keyakinan
                :  kepekaan / keprihatinan
                :  keikhlasan / kejujuran

Persoalan:  ketegasan / keteguhan pendirian dalam memberi hujah / pendapat / pandangan
               :  keberanian dalam menyuarakan hak / perjuangan
               :  keyakinan dalam menghadapi cabaran perubahan zaman / dan persekitaran
               :  kepekaan / keprihatinan terhadap kemajuan bangsa / masyarakat
               :  keikhlasan / kejujuran dalam menunaikan amanah / tanggungjawab / tugas / kepercayaan

Pengajaran:  kita hendaklah tegas / teguh pendirian / istiqamah / asertif dalam memberi hujah / pendapat / pandangan
                :  kita hendaklah berani / berpandangan jauh /berwawasan / bersikap terbuka dalam menyatakan hak / perjuangan
                  :  kita hendaklah yakin diri / optimistik / berfikiran positif dalam menghadapi cabaran / perubahan
                  :  kita hendaklah peka / prihatin / ambil berat terhadap kemajuan bangsa / masyarakat
                  :  kita janganlah mementingkan diri sendiri dalam hidup bermasyarakat
                  :  kita janganlah berpura-pura / hipokrit / bermuka-muka dalam berjanji / bercakap / berkempen / menagih undi

kbkk:  jasa pejuang bangsa / masyarakat
        :  cara-cara memupuk kesedaran tentang perpaduan masyarakat

Tuesday, February 14, 2012

'SYAIR LI-ATTAR GHIB"



Genre sastera:  puisi tradisional
Bilangan rangkap:  8
Penyair asal:  Raja Ali Haji
Penyelenggara:  Abu Hassan Sham
Sumber ambilan:  Antologi Harga sebuah Lukisan, muka surat 13 - 14

Pengenalan

Merujuk antologi (muka surat 4), syair berkenaan mengisahkan kesedihan Daing Celak setelah kedua-dua abangnya, iaitu Daing Parani dan Daing Merewah meninggal dunia. Penyair cuba menyelitkan mesej tentang ajal yang pasti akan menjemput manusia tanpa mengira darjat dan usia kerana demikian ketetapan Ilahi. Li-Attar Ghib mungkin bermaksud haruman atau wangian yang hilang, kerana versi asal tulisan jawi tidak dipaparkan.

Perbincangan rangkap demi rangkap

          Walau sayangnya akan saudara,
          Sebab bersama-sama mengembara,
          Tiada pernah muafakatnya cedera,
          Segala pekerjaan segala perkara.

Kasih sayang tiga beradik, iaitu Daing Celak, Daing Parani dan Daing Merewah sentiasa utuh. Mereka sentiasa mengembara bersama. Mereka sentiasa berpakat dalam setiap urusan tanpa gagal.

          Dengan kehendak Tuhan yang mulia,
          Dua orang saudara meninggalkan dunia,
          Hendak disusahkan tiada berdaya,
          Kerana perbuatan Tuhan yang tersedia.

Takdir menentukan bahawa dua abang, iaitu Daing Parani dan Daing Merewah meninggal dunia, lalu tinggallah Daing Celak seorang diri. Daing Celak hanya mampu pasrah (berserah, reda) justeru demikian ketentuan Ilahi.

          Melainkan hamba berbanyak sabar,
          Akan perintah Wahid al-Khahar,
          Ialah Tuhan bersifat Jabbar,
          Akan hambanya kecil dan besar.

Sebagai hamba Allah, manusia perlu bersabar kerana itulah perintah Tuhan Yang Maha Esa Lagi Perkasa, serta bersifat menguasai segala makhluk ciptaan-Nya.

           Kita pun kelak demikian itu,
           Meninggalkan dunia juga yang tentu,
           Tidak memilih raja dan ratu,
           Semuanya itu pergi ke situ.

Semua manusia akan mengalami nasib yang serupa, iaitu akan mati. Tidak kira kedudukan, setiap manusia akan menuju kematian belaka.

          Hendaklah kita tunduk terngadah,
          Lihat kepada datuk nenek yang sudah-sudah,
          Adil dan insaf jua berfaedah,
          Menaikkan kita pangkat saadah.

Kita hendaklah sentiasa insaf dan mengambil ingatan terhadap kesudahan hidup generasi datuk nenek yang meninggalkan dunia yang sementara (pinjaman) ini supaya kita mengecapi kebahagiaan, iaitu suatu tahap kemuliaan dan kesejahteraan yang kita idamkan.

          Rakyat seluruhnya hendaklah dipelihara,
          Kesenangan hidupnya dikira-kira,
          Istimewa pula sanak saudara,
          Jangan sekali diberi cedera.

Para pemimpin hendaklah memastikan bahawa rakyat jelata menikmati kehidupan yang selesa. Keluarga terdekat juga hendaklah dijaga dan dibela supaya mereka tidak hidup sengsara.

          Ilmu yang benar hendaklah dimulia,
          Kerana ilmu mulia anbia,
          Tuntut ilmu jangan sia-sia,
          Yang lain itu tinggal di dunia.

Manusia hendaklah memuliakan ilmu yang hak kerana ilmu yang mengangkat kedudukan para nabi (anbia). Ilmu hendaklah dipelajari dengan bersungguh-sungguh kerana ilmu (yang bermanfaat) menjadi bekalan akhirat sedangkan (kekayaan) yang lain akan ditinggalkan.


          Ayuhai tuan-tuan cuba fikirkan,
          Serta pandang amat-amatkan,
          Kematian datuk nenek teladankan,
          Kita sepertinya akan didatangkan.

Penyair menggesa khalayak (pembaca) supaya berfikir dalam-dalam, membuat pemerhatian dan pengamatan tentang kesudahan datuk nenek yang sudah tiada lagi. Semua manusia (kita) akan mengalami kesudahan yang sama.

Tema:  Hakikat tentang kematian

Nilai murni:  kasih sayang
                :  permuafakatan
                :  kesabaran / ketabahan
                :  keinsafan
                :  kepekaan / keprihatinan
                :  kecekalan / kegigihan / kerajinan / kesungguhan
            
Persoalan:  kasih sayang sesama keluarga
               :  permuafakatan / kerjasama dalam pekerjaan / usaha / urusan / tugas
               :  kesabaran / ketabahan dalam menghadapi musibah / cabaran hidup / dugaan berat / ujian
               :  keinsafan tentang kesudahan hidup di dunia
               :  kepekaan / keprihatinan terhadap amanah kepimpinan
               :  kecekalan / kegigihan / kerajinan / kesungguhan dalam pembelajaran / menuntut ilmu

Pengajaran:  kita hendaklah mengasihi / menyayangi keluarga
                 :  kita hendaklah bermuafakat / bekerjasama dalam sesuatu pekerjaan / usaha / urusan / tugas
                 :  kesabaran / ketabahan dalam menghadapi musibah / cabaran hidup / dugaan berat / ujian
                 :  kita hendaklah insaf tentang kesudahan hidup di dunia / kematian
                 :  kita hendaklah peka / prihatin terhadap amanah kepimpinan
                 :  kita hendaklah cekal / gigih / rajin / bersungguhsungguh dalam pembelajaran / menuntut ilmu

kbkk:  kebaikan mengingati mati
        :  kepentingan mempelajari kesudahan generasi terdahulu
        :  kepentingan ilmu pengetahuan dalam kehidupan
        :  keperluan muhasabah diri / introspektif / penilaian kendiri
        :  tanggungjawab ketua / pemimpin terhadap pengikut / penyokong/ rakyat / subordinat / orang bawahan