Tuesday, February 14, 2012

'SYAIR LI-ATTAR GHIB"



Genre sastera:  puisi tradisional
Bilangan rangkap:  8
Penyair asal:  Raja Ali Haji
Penyelenggara:  Abu Hassan Sham
Sumber ambilan:  Antologi Harga sebuah Lukisan, muka surat 13 - 14

Pengenalan

Merujuk antologi (muka surat 4), syair berkenaan mengisahkan kesedihan Daing Celak setelah kedua-dua abangnya, iaitu Daing Parani dan Daing Merewah meninggal dunia. Penyair cuba menyelitkan mesej tentang ajal yang pasti akan menjemput manusia tanpa mengira darjat dan usia kerana demikian ketetapan Ilahi. Li-Attar Ghib mungkin bermaksud haruman atau wangian yang hilang, kerana versi asal tulisan jawi tidak dipaparkan.

Perbincangan rangkap demi rangkap

          Walau sayangnya akan saudara,
          Sebab bersama-sama mengembara,
          Tiada pernah muafakatnya cedera,
          Segala pekerjaan segala perkara.

Kasih sayang tiga beradik, iaitu Daing Celak, Daing Parani dan Daing Merewah sentiasa utuh. Mereka sentiasa mengembara bersama. Mereka sentiasa berpakat dalam setiap urusan tanpa gagal.

          Dengan kehendak Tuhan yang mulia,
          Dua orang saudara meninggalkan dunia,
          Hendak disusahkan tiada berdaya,
          Kerana perbuatan Tuhan yang tersedia.

Takdir menentukan bahawa dua abang, iaitu Daing Parani dan Daing Merewah meninggal dunia, lalu tinggallah Daing Celak seorang diri. Daing Celak hanya mampu pasrah (berserah, reda) justeru demikian ketentuan Ilahi.

          Melainkan hamba berbanyak sabar,
          Akan perintah Wahid al-Khahar,
          Ialah Tuhan bersifat Jabbar,
          Akan hambanya kecil dan besar.

Sebagai hamba Allah, manusia perlu bersabar kerana itulah perintah Tuhan Yang Maha Esa Lagi Perkasa, serta bersifat menguasai segala makhluk ciptaan-Nya.

           Kita pun kelak demikian itu,
           Meninggalkan dunia juga yang tentu,
           Tidak memilih raja dan ratu,
           Semuanya itu pergi ke situ.

Semua manusia akan mengalami nasib yang serupa, iaitu akan mati. Tidak kira kedudukan, setiap manusia akan menuju kematian belaka.

          Hendaklah kita tunduk terngadah,
          Lihat kepada datuk nenek yang sudah-sudah,
          Adil dan insaf jua berfaedah,
          Menaikkan kita pangkat saadah.

Kita hendaklah sentiasa insaf dan mengambil ingatan terhadap kesudahan hidup generasi datuk nenek yang meninggalkan dunia yang sementara (pinjaman) ini supaya kita mengecapi kebahagiaan, iaitu suatu tahap kemuliaan dan kesejahteraan yang kita idamkan.

          Rakyat seluruhnya hendaklah dipelihara,
          Kesenangan hidupnya dikira-kira,
          Istimewa pula sanak saudara,
          Jangan sekali diberi cedera.

Para pemimpin hendaklah memastikan bahawa rakyat jelata menikmati kehidupan yang selesa. Keluarga terdekat juga hendaklah dijaga dan dibela supaya mereka tidak hidup sengsara.

          Ilmu yang benar hendaklah dimulia,
          Kerana ilmu mulia anbia,
          Tuntut ilmu jangan sia-sia,
          Yang lain itu tinggal di dunia.

Manusia hendaklah memuliakan ilmu yang hak kerana ilmu yang mengangkat kedudukan para nabi (anbia). Ilmu hendaklah dipelajari dengan bersungguh-sungguh kerana ilmu (yang bermanfaat) menjadi bekalan akhirat sedangkan (kekayaan) yang lain akan ditinggalkan.


          Ayuhai tuan-tuan cuba fikirkan,
          Serta pandang amat-amatkan,
          Kematian datuk nenek teladankan,
          Kita sepertinya akan didatangkan.

Penyair menggesa khalayak (pembaca) supaya berfikir dalam-dalam, membuat pemerhatian dan pengamatan tentang kesudahan datuk nenek yang sudah tiada lagi. Semua manusia (kita) akan mengalami kesudahan yang sama.

Tema:  Hakikat tentang kematian

Nilai murni:  kasih sayang
                :  permuafakatan
                :  kesabaran / ketabahan
                :  keinsafan
                :  kepekaan / keprihatinan
                :  kecekalan / kegigihan / kerajinan / kesungguhan
            
Persoalan:  kasih sayang sesama keluarga
               :  permuafakatan / kerjasama dalam pekerjaan / usaha / urusan / tugas
               :  kesabaran / ketabahan dalam menghadapi musibah / cabaran hidup / dugaan berat / ujian
               :  keinsafan tentang kesudahan hidup di dunia
               :  kepekaan / keprihatinan terhadap amanah kepimpinan
               :  kecekalan / kegigihan / kerajinan / kesungguhan dalam pembelajaran / menuntut ilmu

Pengajaran:  kita hendaklah mengasihi / menyayangi keluarga
                 :  kita hendaklah bermuafakat / bekerjasama dalam sesuatu pekerjaan / usaha / urusan / tugas
                 :  kesabaran / ketabahan dalam menghadapi musibah / cabaran hidup / dugaan berat / ujian
                 :  kita hendaklah insaf tentang kesudahan hidup di dunia / kematian
                 :  kita hendaklah peka / prihatin terhadap amanah kepimpinan
                 :  kita hendaklah cekal / gigih / rajin / bersungguhsungguh dalam pembelajaran / menuntut ilmu

kbkk:  kebaikan mengingati mati
        :  kepentingan mempelajari kesudahan generasi terdahulu
        :  kepentingan ilmu pengetahuan dalam kehidupan
        :  keperluan muhasabah diri / introspektif / penilaian kendiri
        :  tanggungjawab ketua / pemimpin terhadap pengikut / penyokong/ rakyat / subordinat / orang bawahan

"HIKAYAT MARAKARMA"



Genre sastera: prosa tradisional
Bahagian petikan:  Peperangan, Perkahwinan, dan Pertabalan
Penyelenggara:  Wahyunah binti Haji Abd. Ghani
Sumber ambilan:  Antologi Harga Sebuah Lukisan, muka surat 40 - 44
Teknik penceritaan:  bahasa berirama

Watak utama:  Maharaja Markarma
Watak pembantu:  Maharaja Indera Dewa / lawan perang Marakarma
                          :  Raja Mengindera Sari / adinda Marakarma
                          :  Tuan Puteri Nila Cahaya / anak Maharaja Indera Dewa / taruhan perang maharaja
                          :  Tuan Puteri Cahaya Khairani / bekas tawanan raksasa / diselamatkan oleh Marakarma / isteri Marakarma
                          :  Raja Bujangga Indera / adinda Tuan Puteri Cahaya Khairani
                          :  Maharaja Malai Kisna / raja negeri Mercu Indera / ayahanda TPC Khairani dan Bujangga
                          :  Raja Dikar Agas Peri (menunjukkan kesaktian memanah ke udara, turun permata ratna mutu maknikam)

Latar tempat:  medan perang / negeri hikmat
                   :  negeri Anta Beranta / menerima pertabalan Raja Bujangga Indera
                   :  negeri Puspa Sari
                  :  negeri Mercu Indera / menerima pertabalan Maharaja Marakarma (ganti Maharaja Malai Kisna)
                   :  negeri Pelanggam Cahaya / menerima pertabalan Raja Mengindera Sari

Sinopsis hikayat

Maharaja Indera Dewa berang dengan kejayaan Marakarma membina negeri dengan kuasa hikmat, lalu mengisytiharkan perang. Pertempuran bersemuka berlaku mengikut darjat, misalnya menteri dengan menteri dan hulubalang dengan rakyat. Akhirnya, Maharaja Indera Dewa tinggal seorang, lalu cuba diusir oleh Markarma, tetapi dibalas dengan sindiran tajam. Maharaja Indera melepaskan anak panah tetapi sipi. Kemudian, mereka bertarung kesaktian dan langsung bertikam. Marakarma berjaya membunuh Maharaja Indera yang sempat berpesan menitipkan Tuan Puteri Nila Cahaya yang manja kepada Marakarma. Melihat kedua-dua orang tuanya mati, Puteri Nila cuba membunuh diri, tetapi dapat dihalang.

Isteri Marakarma terkejut melihat adiknya yang sudah lama tidak ditemui, Raja Bujangga Indera menghadap suaminya. Berita pertemuan dua beradik itu disampaikan kepada ayahanda mereka, Maharaja Malai Kisna menerusi seorang hulubalang uang pantas berjalan. Raja Bujangga Indera dijodohkan dengan Tuan Puteri Nilai Cahaya dan dirajakan di negeri Anta Beranta. Pesta perkahwinan dan pertabalan itu memakan masa 40 hari 40 malam.

Maharaja Malai Kisna menerima menghadap hulubalang pantas berjalan dan mendengar bacaan surat anakandanya, Raja Bujangga. Sejurus selepas itu, Marakarma, menantu baginda pun tiba, lalu disambut denagn segala adat kebesaran istana. Pesta memandikan TPC Khairani (sebagai tanda syukur penemuannya) dilangsungkan selama 40 hari 40 malam juga. Pesta menunjukkan kesaktian dan perarakan panca persada tujuh tingkat untuk Marakarma dan TPC Khairani ialah antara upacara pertabalan Maharaja Marakarma menggantikan kedudukan mertuanya itu. Sesudah itu, saban tahun sekalian raja datang membawa bingkisan untuk Marakarma.

Tema:  Mitos pertabalan raja-raja zaman dahulu

Perwatakan: berani, memegang janji, menghargai jasa, penyayang

Nilai murni:  keberanian, menepati janji, berterima kasih, kasih sayang

Persoalan:  keberanian dalam menghadapi cabaran / serangan musuh
               :  janji tetap ditunaikan / janji tidak pernah dimungkiri
               :  membalas budi orang yang berjasa
               :  kasih sayang sesama keluarga

Pengajaran:  kita hendaklah berani dalam menghadapi cabaran kehidupan / ancaman musuh (pesaing)
                 :  kita hendaklah menepati / menunaikan janji / kita janganlah mungkir janji
                 :  kita hendaklah membalas budi orang yang berjasa
                 :  kita hendaklah berkasih sayang sesama keluarga

kbkk:  kecekapan dalam pertempuran / persaingan
        :  akhlak terhadap musuh / pesaing  

"SYAIR PANDUAN UNTUK PARA REMAJA"



Penyelenggara: (Dr.) Harun bin Mat Piah
Genre sastera:  Puisi Tradisional
Sumber:  Antologi Harga sebuah Lukisan, muka surat 9 -10
Bilangan rangkap: 8

Perbincangan rangkap demi rangkap

          Ingat pesanku wahai belia,
          Jangan berdusta jangan perdaya,
          Jangan fikir kasihkan kaya,
          Jangan boros yang sia-sia.

Penyair menasihati remaja supaya jangan terbabit dengan perbuatan dusta, iaitu menipu dan memperdaya. Selain itu, remaja jangan asyik hendak berlagak menunjuk-nunjuk hingga berlaku boros. Dalam bahasa yang positif, remaja hendaklah bercakap benar dan mengamalkan jimat cermat.

          Jangan mengata jangan mengeji,
          Jangan aniaya bengis dan benci,
          Jangan takbur diri dipuji,
          Jangan sekali mungkir janji.

Remaja hendaklah menjauhi perbuatan yang buruk seperti mengumpat, mencerca (menghina), mengenakan orang, garang tidak tentu pasal dan benci. Remaja juga tidak wajar berasa bangga diri (kagum pada diri sendiri) apabila menerima sanjungan, serta mesti menepati janji. Pendek kata, remaja perlu menghiasi peribadi dengan sifat terpuji (mahmudah) dan menghindari sifat tercela (mazmummah).

          Judi dan arak jangan biasa,
          Lucah dan cabul jangan selesa,
          Usah bertemu ular yang bisa,
          Lambat bangatnya dapat binasa.

Remaja jangan mendekati amalan judi (pertaruhan) dan meneguk minuman keras (alkohol). Mulut juga dijaga daripada menuturkan perkataan yang tidak senonoh dan hodoh bunyinya. Elakkan diri daripada dipengaruhi amalan buruk kerana akhirnya akan terjebak ke kancah kehancuran.

          Jangan meminjam jangan berhutang,
          Jangan meminta bantu sementang,
          Bergantung pada orang hendaklah pantang,
          Bebas kehidupan sentiasa tatang.

Remaja jangan membiasakan diri dengan tabiat suka meminjam dan berhutang, atau asyik meminta pertolongan orang. Sikap berdikari hendaklah dipupuk supaya hidup sebagai insan yang merdeka. Maka, pergantungan keterlaluan kepada pihak lain hendaklah dihindari.

          Meminta jangan meminjam pun jangan,
          Barang dipinjam kerap kehilangan,
          Sahabat peminjam renggang di tangan,
          Hutang merosakkan mut'ah pandangan.

Remaja usah melazimkan diri dengan suka meminta-minta dan meminjam kerana barang yang dipinjam selalu hilang (rosak, musnah, habis). Akibatnya, persahabatan boleh putus. Orang yang berhutang selalu dipandang rendah.

           Jangan biasakan meminta tolong,
           Ke sini tersembah, ke sana terlolong,
           Ikhtiar sendiri bantut bergulung,
           Akhirnya kebolehan lenyap terlelong.

Kebiasaan meminta tolong membawa akibat hilang harga diri apabila terpaksa merayu ke sana sini hingga menjejaskan maruah diri. Akhirnya, sikap demikian akan menghalang amalan berdikari (usaha kendiri) dan potensi diri (bakat / kebolehan / keupayaan) daripada berkembang.

          Latihlah diri sifat merdeka,
          Daya sendiri segenap seketika,
          Jangan sombongkan asal dan baka,
          Atau kelebihan adik dan kakak.

Remaja hendaklah melatih diri dengan sikap berdikari, iaitu dengan melakukan sesuatu atas usaha (inisiatif) sendiri. Remaja tidak boleh berasa angkuh terhadap status dan keturunan, atau menumpang kehebatan anggota keluarga dengan tujuan bermegah-megah. Remaja mesti mampu mencipta kejayaan dan pencapaian diri sendiri.

           Padalah itu aku khabari,
           Ingatlah semua, muda jauhari,
           Kiranya kabul Allah memberi,
           Dirimu jadi pemulih negeri.

Penyair menegaskan kepada semua remaja akan segala nasihat dan pesanan yang telah disampaikan. Harapannya hanya satu, iaitu supaya remaja menjadi pembela negara, tentunya dengan izin Allah jua. Remaja mesti bijak membezakan amalan baik dengan amalan buruk dalam kehidupan.

Analisis Komsas

Syair yang dibincangkan kali ini sarat dengan pengajaran dan nilai murni. Persoalan puisi juga begitu jelas.

"SYAIR BERBUAT JASA"



Genre:  Puisi tradisional
Penyelanggara:  (Dr.) Harun bin Mat Piah
Sumber ambilan:  Antologi Harga Sebuah Lukisan, muka surat 11
Bilangan rangkap:  7

Perbincangan rangkap demi rangkap

          Buatlah jasa wahai teruna,
          Hidupmu biar memberi guna,
          Kamu yang mati jasa tak fana,
          Asalkan buahnya elok sempurna.

Anak muda diseru supaya berbuat jasa supaya hidup lebih berguna. Jasad (tubuh) seseorang mungkin telah tiada (meninggal dunia), tetapi jasanya kekal buat selama-lamanya jika dilakukan dengan ikhlas dan dipanjangkan amalannya oleh orang lain (generasi selepasnya).

          Banyakkan khidmat besar dan seni,
          Serahkan kepada Tuhan Rabbani,
          Jasa yang kekal berfaedah murni,
          Umur yang kedua bagi insani.

Sama ada amalan besar mahupun kecil, semuanya mesti ditambah, lalu diikhlaskan semata-mata kepada Allah untuk menilainya. Jasa yang kekal mendatangkan manfaat yang tidak terhingga. Jasa itu akan terus diingati walaupun seseorang itu telah meninggal dunia.

          Hidup manusia jangan percuma,
          Buatlah bakti budi utama,
          Selagi baiknya kekal menjelma,
          Si mati hidup selama-lama.

Manusia tidak harus mensia-siakan hidupnya, sebaliknya sentiasa berusaha meninggalkan jasa. Selama mana jasa itu menjadi amalan atau dimanfaatkan oleh orang lain, orang berjasa tadi tetap dianggap masih hidup walaupun pada hakikatnya telah lama meninggal dunia.

          Buatlah baik sedaya upaya,
          Hidup berbakti memberi cahaya,
          Sumbu pelita tidak sia-sia,
          Terbakar dirinya menerangi raya,
 
Kebaikan yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh akan memberi faedah kepada diri sendiri dan orang lain. Ibarat sumbu pelita (minyak tanah) yang diperbuat daripada kain atau tali, walaupun harus terbakar, gelap akan berganti terang.

          Jangan menilik balas dan puji,
          Atau pahalanya dikaji-kaji,
          Rasa demikian tamak dan keji,
          Padalah baiknya tinting dan uji.

Apabila berbuat jasa, seseorang itu tidak patut mengharap ganjaran dan sanjungan. Demikian tidak elok bersikap menghitung pahala semata-mata yang menjurus kepada sifat tamak (haloba) dan hina (tidak baik). Demikian cabaran kepada keikhlasan diri dalam berbuat kebaikan (jasa).

          Pahala dan balas jangan dihitung,
          Ataupun bintang di dada beruntung,
          Asalkan jasamu padat berdentung,
          Cukuplah di situ mulai tergantung.

Jangan terlalu berkira tentang pahala (catatan balasan amal baik) atau mendambakan kalungan pingat atau pangkat kebesaran. Sebaliknya, biarlah jasa yang tidak terhingga manfaatnya sebagai bekalan (nyawa kedua, akhirat).

          Buatlah baik ayuhai rakan,
          Ke dalam laut kamu campakkan,
          Jikalau tidak dikenal ikan,
          Tuhan tahu iakah bukan.   


Sekali lagi penyair menyeru supaya pembaca sentiasa berbuat jasa dan kebaikan. Walaupun usaha yang dilakukan mungkin tidak dihargai atau tidak diberi sambutan, Allah sangat persis dalam membuat penilaian.


Kosa kata / pemilihan kata / diksi
  
fana  =  sementara


sumbu  =  bahagian tali / kain yang menghidupkan api apabila menerima sumber minyak tanah


tinting  =  ketuk / hempas / goncang untuk menapis / uji ketulenan / menimbang baik buruk


berdentung  =  bunyi yang kuat seperti guruh

Kajian komsas

Nilai murni:  kemurahan hati, keikhlasan


Persoalan:  Kemurahan hati dalam menyumbang jasa
              :   Keikhlasan dalam membuat kebaikan / jasa


Pengajaran:   Kita hendaklah bermurah hati dalam menyumbang jasa / kebaikan
                 :   Kita hendaklah ikhlas dalam melakukan kebaikan / jasa


Analisis kbkk


Dalam suatu hadith, jasa yang berkekalan walaupun seseorang itu telah meninggal dunia ialah ilmu yang bermanfaat, sedekah jariah (derma yang digunakan untuk manfaat silih generasi), dan anak yang soleh. Orang yang berbuat jasa akan dikenang, didoakan dan dijadikan teladan.