Tuesday, February 14, 2012

SAJAK " SEORANG INSAN ISTIMEWA"



Pengkarya:  Natasya Puteri
Sumber ambilan:  Antologi Harga Sebuah Lukisan, muka suarat 22
Bilangan rangkap:  4

Perbincangan rangkap demi rangkap

          Dia tidak pernah meminta
          untuk lahir sebegitu rupa
          namun kecilnya diri
          menyanggah takdir Yang Maha Esa
          sebuah suratan tertulis sudah
          sebuah kehidupan tetap harus diteruskan.

Insan istimewa, atau juga dipanggil kurang upaya atau kelainan upaya menjadi demikian bukan atas kemahuan sendiri, namun tetap menerima dengan reda (baca redha, iaitu pasrah) suratan takdir Ilahi (nasib yang tertulis sejak azali). Hakikat kelahiran mereka yang demikian diterima seadanya bagi menjalani kehidupan.

          Seorang insan istimewa
          menapak dalam reda
          menggalas payah dalam senyum paksa
          betapa pun simpati mata memandang
          pasti tiada bandingan
          dengan derita diri
          menempuh cabaran.

Insan istimewa menanggung segala derita dalam kegembiraan yang dibuat-buat. Simpati dan belas kasihan masyarakat tidak sama dengan derita diri dan kesusahan yang mereka sendiri alami.

          Seorang insan istimewa
          anugerah suatu ujian
          amanah suatu tuntutan
          biar sukar mesti disempurnakan
          luas buana
          mereka tetap punya ruang
          meneruskan kehidupan
          selagi Tuhan mengizinkan.

Kewujudan insan istimewa menjadi ujian kepada institusi keluarga, masyarakat dan negara. Mereka menjadi amanah yang pelu dijaga walaupun bukan mudah untuk dikendalikan. Insan istimewa mempunyai hak dalam kehidupan bermasyarakat selagi masih bernyawa. Mereka tidak boleh diabaikan.

          Bantulah, bimbinglah
          seikhlas hati setulus budi
          Tuhan pasti merestui.

Masyarakat diseru supaya membantu dan membimbing insan istemewa dengan tulus ikhlas. Orang yang berbuat baik akan dikasihi dan direstui oleh Tuhan.

Gaya bahasa:  perulangan
                      metafora

Nilai murni:  kepasrahan, ketabahan, tolong-menolong, keikhlasan / ketulusan

Persoalan:  kepasrahan dalam menerima takdir Ilahi
              :   ketabahan dalam menghadapi cabaran kehidupan
              :   tolong-menolong sesama anggota masyarakat
              :   keikhlasan / ketulusan dalam menolong orang lain

Pengajaran:  kita hendaklah pasrah dalam menerima takdir Ilahi
                 :  kita hendaklah tabah dalam menghadapi cabaran hidup
                 :  kita hendaklah tolong-menolong sesama anggota masyarakat
                 :  kita hendaklah ikhlas / tulus dalam menolong orang lain

kbkk:  penyediaan kemudahan di bangunan awam dan pasar raya
        :  sistem pendidikan dan rawatan bagi golongan istimewa
        :  tanggungjawab ibu terhadap anak istimewa

No comments:

Post a Comment